SANDAKAN: Seorang ibu bersama dua anaknya rentung dalam kebakaran yang memusnahkan 20 rumah atas air di Kampung Shing Kee di Tanah Merah, di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang rentung dikenali sebagai Afikah Sulaiman, 20, dan dua anaknya, Nurul Katrishah Aiman, 3, serta Mohd Sharil Aiman yang berusia setahun.
Seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti identitinya turut dilaporkan cedera di bahagian tangan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Negeri Sabah, bomba menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.34 pagi sebelum menghantar 18 anggota bersama tiga jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Difahamkan, kebakaran membabitkan keluasan kira-kira 0.3 hektar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah yang turut berada di lokasi berkata, operasi memadam tamat sepenuhnya pada jam 10.31 pagi dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.
Katanya, mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sandakan dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya, manakala mangsa yang rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada aktiviti memasak, namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK