PENAGIH DADAH MENGAMUK

SANDAKAN: Bukan saja memecahkan dinding kayu, malah bergelut dengan pasukan keselamatan ketika cuba ditahan.

Itu tindakan seorang lelaki dipercayai penagih dadah sebaik cuba ditangkap oleh anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran dalam kejadian di Kampung Dandulit, di sini, malam tadi.

Terdahulu, anggota BN 20 PGA Beluran bergegas ke lokasi itu sebaik menerima laporan penduduk mengenai kejadian lelaki mengamuk pada jam 10.30 malam.

Pegawai Pemerintah BN 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata suspek berusia 23 tahun yang juga penganggur didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine menerusi ujian awal saringan air kencing.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menemui apa-apa barang salah.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.