KOTA KINABALU: Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menetapkan pergerakan seseorang perlu dalam radius 10 kilometer dari kediaman masing-masing, namun ianya ada pengecualian bagi kes-kes tertentu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, sekiranya tiada kedai atau kemudahan perubatan dalam radius itu, maka orang ramai boleh pergi ke kemudahan terdekat meskipun melebihi 10km.
“Semalam kita mendengar ada sesetengah individu yang keluar rumah untuk mendapatkan perubatan, tetapi kerana lebih daripada 10km mereka terpaksa membatalkan hasrat mereka.
“Sekiranya ia melibatkan kesihatan, seperti untuk pergi ke klinik, polis boleh menggunakan budi bicara,” katanya dalam sidang media di ibu negara, hari ini.
Ismail turut memberikan contoh yang sama jika seseorang perlu membeli bahan makanan.
“Sekiranya bahan makanan yang ingin dibeli tiada dalam radius 10km dari kediaman, maka mereka boleh pergi ke kedai lain walaupun melebihi 10km namun ianya haruslah yang terdekat,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ