INGKAR PKPB, EMPAT INDIVIDU TERMASUK SEORANG WANITA DITAHAN

KOTA KINABALU: Empat individu yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditahan di sebuah pusat hiburan, di Lintas Square, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya mendapati premis berkenaan sedang beroperasi dan beberapa pelanggan sedang berhibur dan minum minuman beralkohol.

Katanya, pasukan polis kemudiannya menahan tiga lelaki dan seorang wanita kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan serta minum di dalam premis yang mana didapati ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB.

“Mereka yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8), Peraturan 10 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11.

“Manakala pelanggan yang berada di lokasi turut dikenakan kompaun. Kerajaan masih melaksanakan PKPB dan masyarakat hendaklah mematuhi sebarang SOP yang dikuatkuasakan,” katanya.

Habibi berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam operasi jam 9.30 malam itu, operasi dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan pemantauan OP COVID-19.

Habibi berkata, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penentu kejayaan PKPB.

“Mana- mana individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan,” katanya. –http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *