Israel lancarkan serangan udara, tiga askar Syria terkorban

Tiga askar Syria terkorban akibat serangan udara tentera Israel berhampiran Damsyik pada Khamis. - Foto AFP

DAMSYIK, 24 Feb – Tiga askar Syria terkorban dalam serangan udara tentera Israel berhampiran Bandar raya Damsyik pada pagi, Khamis.

Menurut media kerajaan Syria, ianya merupakan serangan kali keempat dilaporkan pada bulan ini oleh rejim Zionis di Syria.

“Musuh (Israel) melancarkan serangan udara dengan menggunakan beberapa buah peluru berpandu menyebabkan tiga askar Syria terkorban.

“Kementerian Pertahanan Syria berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu Israel dalam serangan itu yang berlaku kira-kira pukul 1.10 pagi,” lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).

Pertubuhan Badan Pemantau Untuk Hak-hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan bahawa letupan kedengaran di Damsyik dan pinggir bandar raya tersebut.

Ia menyasarkan kedudukan kerajaan dan tentera sekutu yang disokong Iran serta para anggota gerakan militan Syiah, Hizbollah.