JALANKAN AKTIVITI PELACURAN UNTUK BAYAR SEWA PREMIS

KOTA KINABALU: Seorang wanita yang menjadikan sebuah premis di Plaza Warisan Square, di sini, untuk menjalankan aktiviti pelacuran akhirnya terbongkar apabila dia ditahan polis dalam serbuan Op Noda, kelmarin.

Malah, suspek berusia 33 tahun dipercayai menjadikan pusat latihan urut yang ditutup susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai pusat pelacuran.

Difahamkan, aktiviti persundalan itu dilakukan kononnya bagi menampung bayaran sewa bulanan premis sejak penutupan operasi pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dilakukan hasil operasi Op Noda yang dijalankan anggota Cawangan Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, ketika ditahan, polis turut menemui tiga kondom yang sudah digunakan, enam keping kondom baru, wang tunai RM300 dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk mencari pelanggan.

“Hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dalam aktiviti itu melalui aplikasi WeChat dan pembayaran pula dibuat terus kepada suspek selepas selesai sesi persundalan.

“Tempat kejadian adalah sebuah pusat latihan urut yang sudah beroperasi sejak Januari lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek menjadikan pusat latihan urut sebagai tempat untuk aktiviti persundalan bagi mendapatkan pendapatan.

“Suspek juga dipercayai memulakan aktiviti tidak bermoral itu sejak dua bulan lalu bagi menanggung bayaran sewa pusat latihan urut berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *