PENAMPANG: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu sentiasa peka terhadap aduan gangguan bekalan dan tekanan air rendah yang dialami pengguna, khususnya di Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata walaupun masalah itu dilaporkan beransur pulih, JANS perlu memastikan aduan pengguna diselesaikan sebaik mungkin, terutama menjelang musim perayaan ini.
Katanya, beliau dimaklumkan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah yang dihadapi pengguna di ketiga-tiga daerah itu kini beransur pulih hasil langkah penstabilan bekalan air yang dilaksanakan JANS.
“Saya meminta pihak Jabatan Air untuk sentiasa ‘alert’ dari semasa ke semasa mengenai isu tekanan air ini, khususnya pada musim-musim perayaan yang mana pada musim perayaan, musim cuti penggunaan air dijangka akan lebih meningkat,” katanya.
Beliau ditemui ketika meninjau kerja pelaksanaan Projek Urgent Water Supply Scheme (UWSS) di Kasigui, di sini, hari ini.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, ada tiga punca utama gangguan bekalan atau masalah tekanan air rendah yang dialami pengguna di Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu ketika ini.
“Antara punca kenapa tekanan air rendah adalah disebabkan satu, NRW (air tidak berhasil) yang masih berada dalam keadaan yang agak tinggi.
“Kedua, daripada NRW itu, ada paip yang pecah, yang tidak disedari dan baru dijumpai apabila ada aduan yang dilakukan.
“Ketiganya, pihak Jabatan Air juga sedang membuat koordinasi untuk membuat ‘water balancing’ dan ‘pressure balancing’ di sekitar kawasan Pantai Barat Selatan ini.
“Jadi, itu juga menimbulkan sedikit gangguan bekalan air kepada pengguna,” katanya.
Mengenai lawatannya di UWSS Kasigui, Shahelmey berkata projek berkapasiti lima juta liter sehari (JLS) itu dimulakan pada Mei tahun lalu dan dijangka siap pada akhir Mei depan.
“Saya mengambil kesempatan untuk melihat sendiri status kemajuan kerja semasa di tapak dan mendengar taklimat yang diberikan oleh pihak Jetama Sdn Bhd.
“Daripada taklimat yang diberikan, kita melihat bahawa kerja-kerja fizikal di tapak telahpun bermula, namun ada sedikit isu teknikal di tapak yang perlu diselesaikan.
“Namun, sudah ada jalan penyelesaiannya dan dari situ nanti kemajuan kerja boleh dipercepatkan semula untuk mencapai tarikh siap pada Mei 2025 nanti.
“Jadi besarlah harapan kita apabila projek ini siap maka ada tambahan lima JLS kapasiti air untuk dibekalkan ke dalam rangkaian ‘distribution’ air kepada pengguna kita,” katanya. – Info X
More Stories
KUSKOP salur RM346.28 juta pembiayaan PMKS dan koperasi di Negeri Sembilan pada tahun 2024
Maritim Malaysia tahan dua bot tunda nelayan lakukan aktiviti tarik pukat tunda
Agensi di bawah KUSKOP bantu usahawan terjejas banjir di Sabah, Sarawak