LABUAN : Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi besar menjadi lokasi strategik sebagai kawasan hab global industri tuna di negara ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pasaran di peringkat global menunjukkan pasaran terkini industri tuna bernilai kira-kira USD 42 bilion sekali gus dijangka akan melonjak kepada USD 54 bilion menjelang tahun 2032.
Katanya, setakat ini Labuan dikenal pasti mempunyai lokasi strategik sekali gus berpotensi sebagai hab global industri tuna di rantau ini.
“Secara tidak langsung, industri ini boleh menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan terutama mereka yang berada di Labuan.
“Kita yakin industri, yang sudah lama bertapak di Labuan ini akan menyumbang pendapatan baharu kepada hasil sumber perikanan di negara ini,” katanya di sini semalam.
Zaliha berkata, syarikat Labuan Food Industries merupakan pemain industri dalam bidàng perikanan secara komersil, pembuatan, pengeksportan serta perdagangan makanan laut beku, khususnya tuna sejak 35 tahun lalu.
“Kita difahamkan syarikat ini merupakan pengeksport utama tuna ke pasaran global seperti USA, Eropah dan Oceania, menggunakan teknologi pemprosesan terkini.
“Ini termasuk menggunakan kaedah pembekuan ultra rendah sehingga -60°C. Ia bagi memastikan kualiti terbaik untuk produk tuna mereka,” jelas Zaliha.
Menurutnya, pihaknya akan terus memberikan sokongan supaya industri ini mampu mencipta nilai tambah ekonomi baharu di Labuan.
More Stories
KUSKOP salur RM346.28 juta pembiayaan PMKS dan koperasi di Negeri Sembilan pada tahun 2024
Maritim Malaysia tahan dua bot tunda nelayan lakukan aktiviti tarik pukat tunda
Agensi di bawah KUSKOP bantu usahawan terjejas banjir di Sabah, Sarawak