JARI PATAH, MUKA CEDERA AKIBAT MERCUN ‘CRAZY BANG’

PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 26 tahun patah jari serta cedera di muka dan badan selepas mercun jenis ‘crazy bang’ yang cuba dibakar meletup sendiri, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dipercayai cuba membakar mercun itu di koridor hadapan rumah mertuanya, di Kampung Terian, di sini.

Bagaimanapun, mercun berkenaan dikatakan tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan mangsa pengsan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, mangsa terus pengsan di tempat kejadian.

Katanya, pihak keluarganya terus menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada pihak hospital.

“Mangsa dihantar menggunakan helikopter ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, badan dan patah pada bahagian jari,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Mohd Haris mengingatkan orang ramai khususnya di daerah ini supaya elak bermain mercun kerana ia boleh mengakibatkan kecederaan serius dan sesiapa yang memiliki dan menjual mercun secara tidak sah adalah salah disisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *