JURAGAN DAN PEMBANTU JURAGAN DITAHAN KERANA SALAHGUNA LESEN BOT KARGO

Bot kargo yang digunakan untuk membawa penumpang berjaya ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Tawau kelmarin

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU :  Maritim Malaysia Zon Tawau telah menahan seorang juragan Indonesia dan seorang pembantu juragan penduduk tempatan yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 berhampiran perairan pelabuhan Tawau, kelmarin.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan telah menahan bot penumpang terbabit  dipercayai bergerak menuju masuk ke Tawau pada jam 8.30 pagi.

Pemeriksaan awal mendapati juragan bot (lelaki dewasa) dan pembantunya (wanita dewasa) masing-masing berumur 55 dan 56 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. 

Pemeriksaan lanjut mendapati juragan disyaki telah menyalahgunakan lesen bot kargo dengan membawa penumpang, kata Mohd Yusri.

Kesemua yang ditahan termasuk bot diiring masuk ke jeti Maritim Malaysia Tawau dan kemudian diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) Cawangan Tawau bagi siasatan lanjut dibawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, kata beliau.