Empat lelaki warga Indonesia yang ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Tawau menggunakan laluan yang tidak diwartakan.
Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU: Seorang juragan dan tiga penumpang dipercayai warga Indonesia telah ditahan oleh Maritim Malaysia Zon Tawau berhampiran Sungai Tawau kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63
Timbalan Pengarah (Operasi), Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin telah menahan bot penumpang terbabit sekitar jam 4.30 petang Jumaat.
Menurut Mohd Yusri, didapati bot penumpang berkenaan dipercayai bergerak menuju masuk ke Sungai Nyamuk, Indonesia dari Tawau dengan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.
Pemeriksaan mendapati juragan bot berumur 31 tahun itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala tiga penumpang yang lain terdiri daripada lelaki dewasa masing-masing berumur dalam lingkungan 36 hingga 44 tahun mempunyai dokumen pasport Indonesia, katanya lagi.
Bot dan kesemua penumpang diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 kerana disyaki gagal mematuhi undang-undang sedia ada dengan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK