KOTA KINABALU: Legasi mendiang Marutin Anak Pagan, 56, Pengarah Mahkamah Sabah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Sibu hujung bulan lalu, akan terus dikenang atas dedikasinya terhadap badan kehakiman.
Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli berkata mendiang Marutin sudah tiada secara fizikal, namun semangat dan jasanya terus terpahat kukuh dalam kenangan, dan hati mereka yang mengenalinya.
“Kami akan teruskan legasinya dengan ketabahan, rendah hati, dan penuh keikhlasan seperti yang beliau lakukan selama ini. Ketika beliau bersemadi buat selama-lamanya, tanggungjawab untuk meneruskan tugas dalam badan kehakiman telah berpindah kepada kita.
“Walaupun hati kita berat, biarlah ini menjadi peringatan akan amanah kita untuk menegakkan keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya semasa majlis memperingati mendiang Marutin di Kompleks Mahkamah Sabah, hari ini.
Mendiang Marutin dilantik sebagai Pengarah Mahkamah Sabah pada Ogos 2024. Berita kematiannya pada 30 Mac mengejutkan seluruh komuniti undang-undang, termasuk rakan-rakan sejawatannya di mahkamah Sabah dan Sarawak.
Mendiang dilahirkan di Miri, Sarawak dan menamatkan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1994 dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang. Beliau memulakan kerjayanya di Pejabat Peguam Negara.
Pada tahun 2017, beliau kembali berkhidmat di Kuching, Sarawak sebagai Hakim Mahkamah Sesyen dan turut berkhidmat sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, serta bertugas di Bintulu, Kuching, Miri, dan Kota Samarahan.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Nixon Kenney Kumbong, turut berkongsi sisi peribadi mendiang yang dikenali dengan perwatakan mesra serta minat uniknya, termasuk mengumpul blazer dari kedai bundle sejak berkhidmat di Sabah.
“Dia pernah berkata kepada saya, ‘Kenapa perlu belanja besar untuk blazer baharu sedangkan ada yang berkualiti tinggi dijual bawah RM100?’” kata Nixon sambil menambah bahawa Marutin memiliki sekurang-kurangnya 10 blazer dalam koleksi peribadinya.
Menurut Nixon, mendiang juga dikenali kerana minatnya terhadap minyak wangi, ‘fountain pen’, membaca dan komputer.
Turut hadir pada majlis penghargaan itu ialah para Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Sesyen serta kakitangan mahkamah dari kedua-dua negeri. –SABAH MEDIA
More Stories
Terima rasuah babitkan Rumah Mesra SMJ, Pegawai Kemajuan Masyarakat ditahan SPRM
623 Pati Filipina dihantar pulang
KPDN Sandakan siasat 15 kes seleweng barang kawalan