Kampung Kolam Damai masih menggunakan perigi, Madius gesa pihak bertanggungjawab ambil peranan

Oleh: Cyn J & Alle

KOTA KINABALU, 30 April – Ciri-ciri sebuah bandar antaranya terletak pada kemajuan infrastruktur yang terdapat dalam suatu kawasan tersebut. Tidak ketinggalan Kota Kinabalu yang telah diisytiharkan sebagai sebuah bandar pada tahun 2000 menjadikannya bandar keenam di Malaysia.

Bagaimanapun, kemajuan tersebut tidak secara menyeluruh kerana masih ada sebuah kawasan di pertengahan bandar yang tidak mengalami sebarang kemajuan.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau telah mendapat aduan mengenai kekurangan bekalan air di Kampung Kolam Damai, Bukit Padang.

Hasil tinjauan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu mendapati bahawa penduduk kampung di kawasan tersebut hanya bergantung kepada perigi untuk mendapatkan sumber bekalan air bersih setiap hari.

Hal ini telah menjadi perhatian parti UPKO dalam merealisasikan wawasan menerajui perjuangan rakyat dan menyeru pihak bertanggungjawab untuk memainkan peranan sewajarnya dalam membantu penduduk yang berada di Kampung tersebut.

“Pihak bertanggungjawab perlu memainkan peranan, lebih-lebih lagi apabila kawasan perkampungan ini terletak di pertengahan Pusat Bandaraya, Kota Kinabalu,” kata Madius.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Berita Sabah hari ini.

Sementara itu, menurut seorang wakil penduduk, Yoel Peter Suking, Kampung Kolam Damai ini telah wujud sejak 40 tahun dahulu namun tidak kelihatan sebarang perubahan dari segi bekalan air.

“Kampung ini juga mempunyai kira-kira 200 buah rumah dan dihuni oleh lebih kurang 200 orang penduduk tempatan.

“Penduduk di sini mendapatkan bekalan air melalui kira-kira 10 buah perigi namun, sebuah perigi hanya dapat menampung empat buah rumah sahaja,” jelasnya.