KANTOI MENGGAJI WARGA ASING

Oleh Wartawan BS
9 Februari 2020

KOTA KINABALU: Tindakan sebuah premis pusat hiburan di Jalan Lintas, di sini, yang disyaki menggaji pekerja warga asing ‘menerima padah’ apabila diserbu polis, malam tadi.

Serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu jam 1.30 pagi itu, menahan empat lelaki warga Filipina yang bekerja di pusat hiburan berkenaan.

Serbuan Op noda/cantas/tapis diketuai Asisten Superintendan Zahiruddin Zakaria

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pemeriksaan mendapati premis hiburan berkenaan mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati empat lelaki warga Filipina ditahan kerana disyaki bekerja tanpa permit kerja yang sah serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika serbuan itu juga, seramai 38 pengunjung di premis hiburan itu diperiksa dan hasil ujian air kencing mendapati semuanya tidak terbabit dengan kegiatan dadah.

“Tangkapan berusia 20 hingga 40 an dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah,” katanya.