MAUT REMPUH TEBING JALAN

TUARAN: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditungganginya terbabas lalu merempuh tebing kiri jalan raya di Simpang Pejabat Urusetia, Jalan Lama, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa berusia 32 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa menunggang motosikal berseorangan dari arah Kampung Marabahai menuju ke pekan Tuaran.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa telah terbabas ke kiri jalan lalu melanggar tebing jalan raya.

“Akibat itu, mangsa dan motosikalnya tercampak di atas jalan raya. Mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuaran untuk bedah siasat.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang dengan laju menyebabkan motosikal hilang kawalan lalu terbabas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.