KEJOHANAN VETERAN TELUPID, 10 PASUKAN BERENTAP

TELUPID: Sebanyak 10 Pasukan akan berentap untuk merebut wang tunai RM10,000 sebagai hadiah utama kejohanan bola sepak veteran daerah Telupid tahun ini.

Kejohanan itu diadakan hanya pada hujung minggu untuk memudahkan semua pasukan menyertai pertandingan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Presiden SAFA Daerah Telupid yang juga Ketua Pemuda UPKO Beluran, Tommy Amir.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan kejohanan itu baik untuk menggalakkan golongan 40 tahun terus bersukan.

“Hadiah wang tunai ini memang besar, tapi apa yang lebih penting adalah tali silaturahim dan golongan ini hidup sihat,” katanya.

Tommy juga memuji semangat ahli jawatankuasa pengelola kejohanan yang diketuai oleh Alnuruzam Norsidi serta Ketua pengadil SAFA Telupid, David Insik yang komited dalam menjayakan kejohanan itu.

Dalam kejohanan berkenaan juga, pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.

Kumpulan A terdiri daripada BRVU A, Klassiko Telupid A, Eduvet, GVL dan Rukut Rukut FC, manakala kumpulan B terdiri daripada pasukan BRVU B, Klassiko Telupid B, Vetel Fc, Bulian FA dan Gaman.

Beberapa  pemain bekas Sabah akan beraksi dalam kejohanan Piala Pengadil Safa Telupid kali ini seperti Matlan Marjan, Suharmin Yusuf, Jekerson Kilan, Dunian Sulog, Umar Maya dan Atthlin Jalumin.

Kejohanan ini dijangka akan berakhir seminggu sebelum bermulanya Bulan Ramadhan.

Kejohanan dijangka diadakan di Padang Majlis Daerah, Pekan Telupid dan Padang SMK Telupid pada setiap hujung minggu ini.