HARAPAN BESAR JUDO SABAH

KOTA KINABALU: Pasukan Judo negeri meletakkan harapan besar kepada beberapa muka lama dalam misi memburu pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor, Julai nanti.

Pengurus pasukan David Tay memberitahu enam atlit telah dipilih untuk bertanding pada temasya sukan terbesar negara itu, di mana lima daripada mereka telah dikekalkan dari skuad Sukma 2018.

Empat daripada atlit yang dikekalkan iaitu Angeline Choi-Ann, Choi E-Faye, Matronati Mel Motusin dan Haanii Annatasha Mohd Azmi @ Hyacinth adalah pemenang pingat di Sukma Perak dua tahun lepas.

Dua lagi peserta Judo negeri ialah Razhmani Juanis yang juga dikekalkan dari skuad 2018 manakala Chiu Kah Pui akan membuat penampilan sulung di Sukma akan datang.

“Atlit kita telah memperlihatkan kemampuan mereka dengan keputusan baik dalam beberapa kejohanan dan pada masa yang sama, mereka telah menunjukkan peningkatan sejak Sukma 2018.

“Oleh itu, saya percaya skuad kita pada kali ini berkebolehan untuk mencapai sasaran yang diinginkan, iaitu memperbaiki pencapaian kita pada Sukma lepas.

“Sudah tentu kita akan cuba mendapatkan pingat emas juga dan dengan itu saya berharap para atlit akan bersungguh-sungguh dalam latihan persediaan serta memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan termasuk Sukma,” kata Tay.

Pada Sukma 2018, Sabah berjaya memenangi dua perak menerusi Haanii dan Matronati dalam persaingan individu Shiai kategori perempuan -70kg dan +70kg.

Gangsa pula dimenangi oleh E-Faye (-48kg Shiai), E-Faye dan Angeline (Berpasangan Kata perempuan) dan juga Kenji Choi Ken Jeh (lelaki -73kg Shiai).

Tetapi Kenji tidak akan bertanding pada temasya kali kali ini kerana telah melebihi had umur.

Sementara itu, kecuali Kah Pui yang berlatih dibawah Tay di Kota Kinabalu, rakan sepasukannya yang lain pula berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Adik-beradik, Angeline dan E-Faye, menempah ilmu dengan jurulati Kathleen Chin Yee Ling di Kuala Lumpur manakala Matronati, Haanii and Razhmani berlatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor di bawah tunjuk ajar jurulati Noor Maizura Zainon.

Temasya Sukma pada kali ini akan diadakan di Johor dari 11 hingga 19 Julai.