Kerajaan Peruntuk Berjuta Ringgit untuk Tanaman Getah

Datuk Junz Wong dan Datuk Peter Anthony merakam gambar kenangan bersama para peserta Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan orang ramai

Oleh: Nio James

TENOM: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melalui Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai sebuah agensi pelaksana telah memperuntukkan berjuta ringgit bagi melaksanakan pelbagai projek penamanan getah di seluruh negeri Sabah khususnya untuk para pekebun kecil getah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah, Datuk Junz Wong berkata, sehingga kini, LIGS telah dan sedang melaksanakan beberapa projek penting seperti projek khas penanaman getah di Kanibongan Pitas, projek agropoliotan Gana di Kota Marudu dan projek-projek mini Estet Sejahtera (MESEJ).

Katanya, bagi tahun 2019, LIGS sedang melaksanakan projek tanam baru dan tanam semula getah meliputi seluas 5,016 hektar melibatkan seramai 1,672 pekebun kecil getah.

“Di daerah Tenom Sahaja, seluas 19,311.65 hektar getah telah ditanam sehingga kini melibatkan 5,417 pekebun kecil,” katanya.

PENGHARGAAN…Datuk Peter Anthony menerima cenderakenangan daripada Timbalan Pengerusi LIGS David William

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan penyerahan geran tanah kepada peneroka Skim Penempatan Getah bertempat di Kuala Tomani dan Lagud Sebrang, Tenom kelmarin.

BMT adalah satu bantuan yang diberikan kepada pekebun kecil getah yang layak untuk meringankan beban kewangan mereka kesan daripada tibanya musim tengkujuh.

Datuk Junz Wong menyampaikan bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah daerah Tenom.

Bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM200 sebulan selama tiga (3) bulan iaitu untuk bulan November 2018, Disember 2018 dan Januari 2019.

Sejumlah RM35 juta telah disalurkan kepada LIGS untuk dibayar kepada seramai 58,333 pekebun kecil di seluruh negeri Sabah.

Bagi daerah Tenom, sebanyak RM3.4 juta BMT akan dibayar kepada kira-kira 5,678 orang pekebun kecil.

Junz berkata, LIGS juga menjalankan aktiviti ekonomi tambahan (AET) bagi memastikan para pekebun kecil memperolehi pendapatan sampingan seperti penanaman halia, lada hitam, buah-buahan serta pemeliharaan lebah kelulut.

Katanya, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM3 juta khusus untuk melaksanakan projek tersebut.

“Usaha ini terbukti telah membuahkan hasil dimana para peserta tekah dibawa ke beberapa program bagi menjual hasil halia dan madu kelulut mereka.

Antara program tersebut adalah JTDL (Jualan Terus Dari Ladang) FAMA, KUD (Karnival Usahawan Desa) anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan yang terbaru HPPNS (Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah),” katanya.

Junz berkata, tidak dinafikan, isu yang membelenggu para pekebun kecil getah pada masa ini adalah kejatuhan harga getah.

Katanya, kerajaan telah memperkenalkan skim Insentif Pengeluaran Getah (IPS) bagi mengurangkan impak kejatuhan harga getah.

Datuk Peter Anthony menyampaikan Geran Tanah kepada Peneroka Skim Penempatan Getah Kuala Tomani dan Lagud Sebrang Daerah Tenom

“Bantuan IPS akan dibayar kepada para pehebun kecil apabila purata harga bulanan getah berada di bawah paras harga lantai iaitu RM2.50/kg.

Beliau menasihati para pekebun kecil agar mengamalkan GAP (Good Agriculture Practice) atau Amalan Pertanian Yang Baik) bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan sekaligus meningkatkan pendapatan.

Beliau juga mengingatkan para pekebun kecil agar mendapatkan maklumat  yang tepat dengan merujuk kepada sumber-sumber yang sahih.

“Terutama sekali daripada LIGS atau badan-badan yang diiktiraf. Kita hendaklah berhati-hati dan waspada terhadap yang diviralkan dalam laman sosial dan menyemak terlebih dahulu kebenaran maklumat-maklumat berkenaan,” katanya.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Peter Anthony, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Daud Yusuf, Adun Kemabong Jamawi Jaafar, Ahli Parlimen Tenom Noorita Sual dan Pengerusi LIGS Datuk John Ot Ghani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *