Perkongsian Perniagaan Boleh Menjadi Inovasi Halatuju Perniagaan Masyarakat Kadazandusun

KOTA KINABALU: Perkongsian perniagaan boleh menjadi satu inovasi kepada halatuju perniagaan di kalangan masyarakat Anak Negeri terutama Kadazandusun dan Murut.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyatakan pandangan beliau bahawa pemilikan ekuiti di kalangan komuniti ini boleh ditingkatkan melalui perkongsian perniagaan dengan komuniti lain terutama dalam bidang yang memerlukan sistem sokongan dan rangkaian yang besar.

Beliau berkata komuniti perniagaan dan perindustrian masyarakat Momogun atau Kadazandusun dan Murut boleh terus mengemukakan kepada pihak Kerajaan hak-hak mereka di bawah dasar memperkasa ekonomi bumiputera, tetapi tidak salahnya bagi komuniti tersebut memula dan membangunkan perniagaan berdasarkan kepada perkongsian ekuiti dalam syarikat bersama dengan komuniti perniagaan daripada masyarakat lain.

Dennison R. Indang (kiri) menurun tandatangan jawatan Naib Presiden KCCI, dihadapan Ewon (kanan)

“Saya berpendapat, jika kita berupaya mengadakan “perkahwinan ekonomi atau perkahwinan perniagaan” dengan komuniti niaga daripada suku masyarakat lain, walaupun hanya memiliki ekuiti saham 30 peratus atau kurang, mungkin kita boleh mendapat pulangan pelaburan yang lebih baik berbanding bersaing sebagai satu komuniti berasaskan suku kita semata-mata.

“Saya tidak mencadangkan yang komuniti kita tidak boleh bersaing, tetapi dalam sektor perniagaan, perdagangan dan perindustrian, saya yakin ini boleh menjadi salah satu inovasi halatuju komuniti kita dalam sektor ini.

“Kita masih boleh terus bersuara, bersaing dan berusaha sebagai satu komuniti suku masyarakat Momogun, tapi tidak ada salahnya kita berusaha melalui satu usahasama bersama keluarga besar kita di negara ini,” katanya.

PENGHARGAAN… Bonipasius menyampaikan cenderakenangan kepada Ewon (kanan)

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ikrar Sumpah Jawatan Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) di Ming Garden Hotel, di sini, pada malam Jumaat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut berkongsi aspirasi, wawasan dan keprihatinan terhadap banyak isu yang dikemukakan oleh ahli-ahli KCCI.

“Isu-isu yang menjadi keprihatinan utama ahli-ahli KCCI bukan asing kepada saya kerana saya sendiri menjadi sebahagian daripada pelbagai persidangan dan seminar yang dianjurkan oleh KCCI sejak saya masih bersekolah di matrikulasi sehingga ke masa ini. Ini termasuklah kekhuatiran ahli-ahli ke atas kestabilan ekonomi dan politik dalam negara termasuk di Sabah.

“Di sebalik semua persoalan dan cabaran ekonomi dan politik, kita mesti bersedia untuk menginovasikan perjuangan masyarakat kita termasuk dalam sektor perniagaan dan perindustrian. Di sebalik semua cabaran, pasti ada peluang dan potensi yang kita boleh terokai,” tambahnya.

Ewon berkata, beberapa dasar baru Kerajaan Negeri yang boleh diterokai sebagai peluang baru perniagaan di negeri ini.

“Kerajaan Sabah hari ini telah membuat dasar untuk tidak lagi mengeksport kayu balak kerana kita mahu memprosesnya di dalam negeri terutama untuk sektor pembuatan perabot.

“Ini adalah peluang baru kepada usahawan-usahawan seni perkayuan dan perabot yang berskala kecil selama ini untuk mengembangkan perniagaan mereka. Persoalannya samada KCCI telah mengambil inisiatif untuk berkomunikasi dengan pihak Kerajaan Negeri bagaimana mereka boleh terlibat dan mengambil bahagian melalui dasar ini,” katanya.

Sementara itu, berkenaan program-program kementeriannya, Ewon berkata Kerajaan Negeri telah memulakan pembinaan Rumah Sejahtera di bawah program pembasmian kemiskinan KPLB Sabah bermula tahun ini.

“Pembinaan Rumah Sejahtera di perkampungan MESEJ dan Kampung Sejahtera telah dicadangkan dilaksanakan secara Sistem Industri Bangunan (IBS). Persoalannya pula samada kita mempunyai usahawan di kalangan komuniti ini yang mempungai kilang IBS dan boleh menjadi pembekal kepada projek ini.

“Setahu saya belum ada usahawan Kadazandusun yang memiliki kilang IBS di Sabah. Itu yang saya cadangkan berkaitan dengan perkahwinan perniagaan supaya kita boleh memiliki ekuiti dalam syarikat pengeluar IBS dan seterusnya boleh dibantu melalui perolehan projek oleh Kerajaan.

“Sebagai Kerajaan, kita harus memberi peluang kepada usahawan yang asli dan betul-betul terlibat dalam perniagaan, bukannya sebagai orang tengah,” katanya.

Beliau berkata, komuniti Kadazandusun boleh menjalankan perniagaan atau keusahawanan berskala kecil dan sederhana secara konsisten.

“Komuniti niaga di negara kita yang menjadi billionaire mungkin boleh dikira, yang menjadi jutawan ramai, tetapi komuniti niaga yang paling banyak dan berjaya secara konsisten adalah mereka yang memiliki perniagaan kecil dan sederhana.

“Saya ambil contoh usahawan-usahawan di bawah KPLB Sabah yang telah dibantu melalui program sokongan terutama bangunan Pusat Keusahawanan Desa. Mereka ini boleh mendapat purata pendapatan bulanan puluhan ribu.

Ada yang sudah menembusi pasaran antarabangsa dan kini sudah boleh menjadi mentor kepada usahawan-usahawan bimbingan KPLB yang lain. Empat orang daripada mereka ini akan menerima Anugerah Usahawan Sabah kerana kejayaan mereka,” tambah beliau.

Ewon mencadangkan agar Biro Keusahawanan KCCI bekerjasama dengan KPLB Sabah dan pelbagai agensi Kerajaan lain untuk membangunkan usahawan-usahawan di kalangan komuniti ini terutama di luar bandar.

“Program keusahawanan dan industri desa merupakan salah satu skop kementerian saya di mana kita mengalu-alukan kerjasama dengan semua komuniti Sabah. Sebab itu saya ingin menjemput biro ini untuk mengadakan kerjasama dengan pihak kementerian untuk membangunkan sektor keusahawanan di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Presiden KCCI Datuk Bonipasius Bianis, Timbalan Presiden KCCI Datuk Ladislaus Maluda, Penasihat KCCI, Datuk Dr Marcus Mojigoh dan Datuk Ajit Galun, Setiausaha Politik Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa Persekutuan Prichard Gumbaris.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *