KENINGAU, 22 Sept (Bernama) — Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Sabah mengambil langkah proaktif untuk menarik lebih banyak pelabur luar ke negeri ini, kata menterinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (gambar).
Timbalan Ketua Menteri itu berkata langkah tersebut bertujuan menawarkan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang sudah beroperasi di negeri ini dalam pelbagai bidang.
“Tumpuan kita ialah kepada aktiviti hiliran daripada sumber-sumber asli, sama ada kelapa sawit, halia, bambu dan pelbagai produk pertanian yang lain di negeri ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata untuk kawasan Keningau, kementeriannya telah mengenalpasti beberapa syarikat yang terlibat dalam aktiviti hiliran yang berpotensi untuk program kolabrasi dengan pelabur luar.
“Cuma apa yang perlu kita lakukan ialah memberi galakan bagi mempertingkatkan keupayaan syarikat berkenaan.
“Kita pastikan kualiti terjamin, kita beri latihan, persijilan dan dari segi bekalan bahan mentah tidak terputus. Penyertaan daripada masyarakat setempat juga turut memainkan peranan yang harus diambil kira,” katanya.
Sehubungan itu, Madius mengajak masyarakat di daerah itu, supaya mengembeleng tenaga untuk bersama-sama memberi sokongan dan mendapat menafaat daripada industri hiliran yang ada di situ.
“Rakyat di peringkat akar umbi khususnya bangsa Momogun (orang asal) perlu sensetif dan kreatif untuk bersaing dengan bangsa-bangsa yang sudah maju ke hadapan dalam menghadapi era globalisasi yang semakin mencabar.
“Banyak sumber setempat yang boleh dihasilkan untuk menjana pendapatan, tetapi ia memerlukan ilmu, kebijaksanaan dan keberanian untuk tujuan itu,” katanya.
— BERNAMA

More Stories
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal