Pengusaha Ladang, Kebun Sawit Digesa Dapatkan MSPO – Shafie

CENDERAMATA…Teresa (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Shafie (kanan).

KOTA KINABALU: Pengusaha ladang dan kebun kelapa sawit di negeri ini digesa mendapatkan Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) selewat-lewatnya hujung tahun depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pensijilan itu penting bagi meningkatkan kualiti hasil sawit dan pengusaha ladang.

“Dengan pensijilan MSPO, para pengusaha ladang dan kebun kelapa sawit akan mendapat harga sawit yang lebih terjamin dan seterusnya dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Dengan MSPO juga kualiti sawit akan diiktiraf dan langkah ini perlu diambil supaya dapat menembusi pasaran antarabangsa.

“Setakat ini, terdapat 221 ribu hektar tanah ditanam dengan kelapa sawit dan hanya 2,600 hektar telah menyertai dalam MSPO.

“Dalam mesyuarat kabinet, semalam, Kerajaan Negeri memutuskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama Pembangunan Luar Bandar Sabah akan memainkan peranan dalam memastikan lebih ramai smallholders menyertai MSPO.

“Kita juga membincangkan bagaimana harga kelapa sawit boleh diseratakan supaya setimpal dengan usaha dan juga pelaburan mendapat imbuhan atau pulangan untuk meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran kelapa sawit dalam negara.

“Yang paling penting adalah pasaran hasil tanaman kerana tidak guna kita tanam banyak kelapa sawit sekiranya tiada pasaran,” jelas beliau.

Shafie mendedahkan demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Industri Utama Malaysia, Teresa Kok di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Shafie turut memaklumkan, Kerajaan Negeri akan berkerjasama dengan Kementerian Industri Utama Malaysia khususnya dalam industri hiliran kayu-kayan.

“Kita meminta bantuan daripada kementerian untuk mempelawa seramai mungkin pemain industri dalam bidang perabot memandangkan kita tidak mengeksport kayu-kayan ke luar negara.

“Industri pembuatan perabot di Sabah bukan semata-mata untuk membuat perabot tetapi juga memberi sumbangan kepada pendapatan negeri, selain membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang masih mengganggur,” katanya.

Tambah beliau, antara langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri ialah mengharamkan pengeksportan kayu-kayan ke luar negara dan ia berjaya mengurangkan kegiatan pemotongan kayu secara berleluasa.

Selian itu, menurut Shafie, kerajaan juga menggalakkan penanaman kayu-kayan dipertingkat untuk mewujudkan keseimbangan alam sekitar. – Penerangan