KERAJAAN SABAH TETAP TEGUH, DAKWAAN PERALIHAN KUASA MELESET

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat dalam Kerajaan Sabah, hari ini, menyatakan pendirian mereka untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pendirian itu dinyatakan wakil rakyat kerajaan yang tediri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Liberal Demokratik (DAP) dalam satu sidang media, di sini, pagi tadi.

Ini sekali gus menidakkan khabar angin yang tersebar di media sosial, kononnya akan berlaku peralihan kerajaan di negeri ini seperti mana berlaku di beberapa negeri lain, sebelum ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, tindakan pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin kononnya kerajaan Sabah akan berubah adalah tidak bertanggungjawab dan cuba memporak-perandakan kestabilan kerajaan sedia ada.

“Ada pihak tertentu yang cuba memporak-perandakan kestabilan Kerajaan Sabah dengan menyebarkan khabar-khabar angin, membuat andaian dan sebagainya, jadi kita bersama-sama dalam sidang akhbar ini untuk menjernihkan keadaan kerana mungkin ada pihak yang keliru dengan perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Hentikanlah dan tidak perlulah (menyebarkan khabar angin), kita tiada masa untuk itu, sudahlah sekarang ini kita menghadapi cabaran Covid-19, kita bukan sahaja mahu menyelamatkan nyawa tetapi juga ekonomi kita,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah dua naib presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Junz Wong, pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, dan beberapa wakil rakyat daripada Kerajaan Sabah.

Madius berkata, majoriti yang dimiliki Kerajaan Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang adalah kukuh dan tidak perlu dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang telah berlaku peralihan kuasa termasuklah Melaka dan Johor serta yang terbaharu dijangka berlaku iaitu Kedah.

“Sabah ini bukan Melaka, Johor atau Kedah kerana mereka ada satu atau dua majoriti saja, kita ada 18 majoriti jadi kita kukuh.

“Perjuangan kita sebagai orang-orang Sabah juga jelas…wakil-wakil rakyat Sabah adalah lebih waras kerana kita berpandu kepada perjuangan,” katanya.

Sementara itu, Madius berkata, kepimpinan Shafie dalam Kerajaan Sabah ternyata telah membawa perubahan kepada negeri berkenaan terutama dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sokongan dan dokongan kami adalah berasaskan perjuangan yang telah dimulakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri khususnya untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963.

“Dalam masa dua tahun lalu, terbukti bahawa kepimpinan Datuk Seri Shafie dengan lantang menyatakan di pelbagai forum terutama dalam pelbagai mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa MA63 yang telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad.

“Malah kita telah berjaya sekurang-kurangnya 17 perkara yang telah mencapai persetujuan, malang sekali kerana adanya peralihan kerajaan (persekutuan) sebelum, jadi kita tidak nampak keputusannya pada hari ini,” katanya. –http://beritasabah.com