MADIUS : SIDANG MEDIA SEMALAM DIHADIRI RAMAI ADUN

KOTA KINABALU: Sidang media berkaitan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di sini, semalam dihadiri ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada empat komponen parti pemerintah.

Bagaimanapun, tidak semua dapat bersama dalam sidang media yang diadakan itu berikutan pihak hotel menghadkan pertemuan kepada 20 orang sahaja mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diumumkan kerajaan persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ketua Whip Kerajaan Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, dalam satu kenyataan, hari ini, berkata berikutan SOP berkenaan, wakil rakyat yang hadir memberi laluan kepada pucuk pimpinan parti masing-masing untuk berada di hadapan.

“Pematuhan SOP wajib bagi mencegah sebarang kemungkinan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Setiap ADUN turut melakukan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

“Seperti gambar-gambar dan berita yang telah disiarkan dalam akhbar mahu pun ditularkan di media sosial, kesemua yang hadir terdiri daripada pucuk-pucuk pimpinan tertinggi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Tindakan Demokratik (Dap) Sabah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan kehadiran itu juga jelas membuktikan kesemua empat parti yang menjadi komponen dalam pentadbiran negeri Sabah kekal kukuh serta utuh dalam menyokong kepimpinan Shafie sebagai ketua menteri terutama dalam perjuangan untuk mengembalikan semula hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam perjanjian MA63. –http://beritasabah.com