KERETA LANGGAR TRELER, DUA BERANAK CEDERA

PENAMPANG: Seorang pemandu pacuan empat roda dan anaknya terselamat selepas kenderaan yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori treler dalam kejadian di Jalan Tambunan berhampiran Gunung Alab, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, pemandu berusia 47 tahun dan anaknya, 20, dipercayai memandu laju sehingga gagal mengawal kenderaannya.

Akibat daripada kejadian itu, kenderaan mangsa memasuki lorong bertentangan sebelum merempuh lori treler yang dipandu lelaki berusia 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda disyaki dipandu dalam kelajuan yang tinggi.

Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu kemudiannya memasuki lorong bertentangan dan terus melanggar bahagian hadapan lori treler.

“Akibat daripada kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda mangsa rosak teruk dan pemandunya mengalami cedera parah.

“Manakala seorang lagi mangsa iaitu anak kepada pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemandu berusia 47 tahun dan anaknya kemudiannya dihantar ke Hospital Tambunan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala katanya, pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua pemandu juga dipercayai tidak disyaki mabuk.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *