SUAMI ISTERI, PEMBANTU TADBIR KEWANGAN DITAHAN SPRM

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Tawau selepas dipercayai mengemukakan maklumat palsu kepada Pejabat Pendidikan Daerah bagi mendapatkan tender kantin sekolah.

Menurut sumber, pasangan berusia lingkungan 30-an itu itu mengemukakan maklumat palsu bagi mendapatkan tender yang bernilai kira-kira RM100,000 pada 2017.

“Dua suspek ini ditahan di Tawau kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan mereka dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, esok,” katanya.

Dalam kes berasingan juga di Tawau, seorang pembantu tadbir kewangan ditahan, hari ini, selepas dia dipercayai menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan sebanyak RM16,000.

Sumber memberitahu, suspek lelaki berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi di Tawau oleh sepasukan anggota SPRM Cawangan Tawau.

“Suspek adalah seorang pembantu tadbir kewangan yang bertugas di sebuah hospital dan ditahan kerana menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM16,000.

“Suspek dikatakan telah menggunakan jawatannya itu untuk meluluskan proses pembayaran kerja-kerja penyelenggaraan kuarters kerajaan kepada sebuah syarikat yang sebenarnya dilakukan oleh suspek sendiri bagi mendapatkan wang itu,” katanya.

Terdahulu, pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.-http://beritasabah.com