Kes tiga lelaki didakwa ke Filipina untuk lakukan keganasan ditetapkan 22 Nov ini

OLEH ALIZA ALAWI

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen menetapkan 22 November ini untuk sebutan semula kes tiga lelaki yang didakwa dengan niat pergi ke Filipina menerusi Malaysia bagi maksud persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di negara tersebut.

Hakim Ummu Kalthom Abd. Samad menangguhkan kes itu atas permintaan pihak pendakwaan sementara menunggu laporan lengkap daripada pihak Keselamatan Siber (Cyber Security) sebelum kes boleh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Lelaki tempatan Nor Azmi Zahyi, 48, dan warga Indonesia Faisal Abu Bakar, 24 dan Ali Misron, 36, menghadiri prosiding yang dijalankan secara tertutup di Bilik Mesyuarat Mahkamah Rendah.

Kesemua mereka, dituduh dibawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan Akta 574, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda jika sabit kesalahan.

Nor Azmi dan Faisal didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Jun tahun ini kira-kira jam 12.20 tengahari dihadapan sebuah butik di Jalan 3, Pusat Bandar Sandakan.

Manakala Ali ditahan di Balai Ketibaan, Lapangan Terbang Sandakan pada 15 Jun tahun ini kira-kira jam 6.15 petang.

Dalam pada itu, Faisal juga didakwa atas kesalahan lain di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki tiga bilah pisau sepanjang 27.3cm, semasa ditahan. Manakala, Ali juga dituduh memiliki bahan-bahan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan Kumpulan Pengganas Islamic State (IS) didalam telefon bimbit semasa ditahan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 130B (1) (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukkan yang sama, yang mana sabit kesalahan, ia membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dilucuthak mana-mana item tersebut.

Timbalan Pendakwaraya Mohd Faisal Mohd Noor mewakili Timbalan Pendakwaraya Mohd Mustaffa P Kunyalam mengendalikan pendakwaan.

Peguam Rowiena Rashid hadir bagi pihak Farazwin Haxdy yang dilantik Konsulat Indonesia mewakili Faisal dan Ali. Nor Azmi pula tidak diwakili peguam.

Kes ini pertama kali dibawa ke Mahkamah pada 11 Julai lepas.

 

Sumber NST