Ewon (kanan) serta pegawai lain melihat hasil tanaman rumpai laut yang diusahakan peserta Mesej di Look Butun, Semporna
Oleh Faizal Rahman
SEMPORNA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperkasakan lagi program-program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan dibawah kementerian itu terutamanya Program Mini Estet Sejahtera (Mesej).
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana sebahagian daripada 52 program Mesej masih memerlukan penambahbaikan dan belum mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Berdasarkan lawatan saya ke perkampungan Mesej seluruh Sabah, saya dapati masih banyak penambahbaikan dan kemudahan asas yang perlu disediakan untuk peserta Mesej. Antaranya, kemudahan rumah untuk peserta, bekalan elektrik, air dan jalan raya.
“Selain itu peserta Mesej juga perlu aktiviti ekonomi tambahan sebagai sumber pendapatan lain. Mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan hasil tanaman atau perusahaan di kawasan Mesej seperti tanaman kelapa sawit dan getah, kerana harga komoditi itu sentiasa berubah-ubah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja selama tiga hari bermula Ahad lalu di kawasan Pantai Timur termasuk di Daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak dan Semporna untuk meninjau prestasi program-program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kementerian itu.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, bagi memastikan program pembasmian kemiskinan di bawah kementerian itu benar-benar mencapai objektif yang ditetapkan, KPLB Sabah memperkenalkan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di perkampungan Mesej.
“Aktiviti ekonomi tambahan yang kita perkenalkan di kawasan Mesej antaranya penternakan burung walit, madu tantadan, eko pelancongan luar bandar dan beberapa lagi aktiviti ekonomi lain yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada para peserta Mesej,” katanya.
Pada Ahad, Ewon dan rombongan melawat Mesej Abai Kinabatangan dan Koperasi Pelancongan Batu Puteh. Seterusnya pada Isnin mendengar taklimat pembangunan daerah Lahad Datu, Tungku dan Kunak serta melawat beberapa tapak cadangan Pusat Keusahawanan Desa dan Mesej.
Beliau turut meninjau Mesej Sapang dan Pangi di daerah Kunak dan Mesej Bakung-Bakung (Lihak-Lihak) dan Mesej Look Butun Pulau Bum Bum Semporna.
Turut serta dalam lawatan itu dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Rasinin Koutis dan Hj.Dumi Pangiran Hj Masdal dan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan.

More Stories
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal