KOTA KINABALU, 28 Feb — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar penguatkuasasan berkenaan kos sara hidup dilaksanakan sebaik-baiknya.
Bertitah pada Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, Baginda mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik.
“Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.
“Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat Beta untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang berpatutan,” titah Baginda.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut mengharapkan agar kerajaan menumpukan usaha dalam mengatasi isu miskin tegar melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan menjelang tahun 2025.
“Bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama, semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi.
“Ini agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan,” titah Baginda lagi.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah juga menegaskan agar pambangunan infrastruktur Sabah dan Sarawak disegerakan bagi menjadikan dua negeri tersebut sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu.
Titah Seri Paduka Baginda, Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 disambut baik oleh Baginda yang mana pelan tersebut dirangka untuk mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya bagi melengkapkan sistem jaringan perhubungan yang lebih baik.
“Projek pembinaan lebuh raya seperti Central Spine Road (CSR), West Coast Expressway (WCE), Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak bakal memacu pembangunan wilayah serta pertumbuhan ekonomi setempat,” titah Al-Sultan Abdullah.
More Stories
Tiada faedah alternatif ditawar kepada 165 pesara LPPS yang tuntut hak wang caruman RBS: Kementerian Kewangan
Dua cedera kemalangan dua lori muatan kelapa sawit di Beluran
Lima rumah teres terbakar di Lahad Datu