Langkawi bersiap untuk muncul sebagai pengeluar beras pulut

[ad_1]

LANGKAWI, 21 April (Bernama) — Langkawi bakal muncul sebagai pengeluar beras pulut dengan projek penanaman pulut bermula September ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan negara kepada beras pulut import.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ingin menjadikan beras pulut sebagai produk ‘signature’ Langkawi dan akan didaftarkan sebagai ‘Geographical Indication’ di Langkawi.

“Bila sebut Langkawi selalunya yang dibayangkan adalah produk gamat, jadi pada masa akan datang kita mahu beras pulut juga menjadi produk ‘signature’ Langkawi,” katanya dalam ucapan perasmian Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani 2019 Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Mohd Sallehhuddin berkata daerah itu juga dilihat berpotensi besar menjayakan projek itu memandangkan ia memiliki kawasan sawah yang luas sekitar 1092.65 hektar (2,700 ekar) disokong dengan teknologi pembangunan benih dan pengairan yang akan dijalankan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (Mardi).

“Kementerian telah meninjau kawasan yang sesuai untuk menanam padi pulut. Terdapat beberapa varieti padi pulut yang boleh ditanam di Langkawi seperti Pulut Siding, Pulut Hitam 9 dan Pulut Sri Malaysia 1,” katanya.

Tambahnya usaha itu juga dijangka bakal meningkatkan tahap ekonomi penduduk tempatan sekaligus menarik kedatangan pelancong ke pulau itu.

“Kita juga melihat bagaimana negara pengeluar utama beras pulut seperti Thailand dan Vietnam menjadikan produk mereka berkualiti dan menerusi teknologi dan penyelidikan Mardi ini kita yakin kualiti beras pulut tempatan juga tidak kurang hebat dan diterima baik,” katanya.

— BERNAMA

[ad_2]