LAPAN DITAHAN KES DADAH

TUARAN: Seramai lapan individu diberkas polis kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di beberapa lokasi di sekitar daerah ini sepanjang tempoh seminggu yang berakhir semalam.

Operasi dijalankan dibeberapa kawasan iaitu sekitar kawasan Taman Perumahan Telipok Ria, Sri Rugading dan pekan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, daripada jumlah yang ditahan itu, lima ditahan dibawah kategori memiliki dadah dan tiga atas kesalahan urin.

“Semua yang ditahan adalah warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun.

“Dalam operasi itu, polis merampas sebanyak 0.98 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM147 mengikut harga dadah semasa,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama 1952.

Sementara itu, Beliau berkata usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.