LABUAN: Bot bersama tekong dan empat awak-awak warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, semalam.
Mereka ditahan oleh bot maritim kerana menceroboh perairan negara dengan menunda ikan di kedudukan 19.01 batu nautika dari Tanjung Kiamsam, Pulau Labuan, jam 2.40 petang.
Pengarah APMM Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, bot nelayan asing Vietnam itu ditahan ketika sedang menunda (memukat ikan) di perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong bersama empat awak-awak warga Vietnam berusia 20 hingga 50 tahun berada di atas bot berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati semua mereka gagal mengemukakan lesen bot serta dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nor Bakari berkata, bot bersama tekong dan awak-awak kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.
“Semua mereka ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1958/63.
“Jika sabit kesalahan tekong boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 seorang atzu penjara sehingga dua tahun atau keduanya selain bot beserta peralatan dilucutkan hak,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bekerjasama dengan perompak hasil laut negara.
“Bot nelayan asing ini bukan sahaja merompak hasil laut malah turut menjualnya dipasaran luar negara dengan harga yang tinggi.
“APMM juga menasihatkan komuniti maritim tempatan supaya sentiasa memberikan kerjasama dan maklumat berkenaan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK