[ad_1]
Dr Mahathir yang dijangka tiba di sini pada 8 malam ini, akan turut menyaksikan beberapa majlis pemeteraian perjanjian dan memorandum persefahaman antara kedua-dua negara tersebut.
Menurut Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di China, Nuryante Mohd Yazid, Perdana Menteri dan rakan sejawatnya Li Keqiang akan menyaksikan dua perjanjian persefahaman selepas kedua-dua pemimpin itu bertemu petang esok.
Beliau berkata, perjanjian persefahaman itu membabitkan usaha meningkatkan perdagangan dan kerjasama minyak sawit antara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan.
Satu lagi perjanjian bertujuan meningkatkan kerjasama dalam pembangunan kawasan perindustrian, infrastruktur, industri hab logistik dan pembangunan berorientasikan transit berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Memorandum persefahaman itu melibatkan China Communication Construction Company (CCCC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” kata Nuryante pada sidang media kepada wakil media Malaysia di pejabat kedutaan itu, hari ini.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 10 tahun yang lepas dan jumlah dagangan kedua-dua negara itu meningkat 8.1 peratus kepada RM313.8 billion pada tahun lepas.
Dr Mahathir berada di negara ini bagi menghadiri Forum Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan (BRF) pada Khamis dan Jumaat ini atas jemputan kerajaan China.
Ia merupakan lawatan kedua beliau ke China selepas pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.
Sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, Dr Mahathir telah berkunjung ke China pada Ogos lepas.
Selain ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kunjungan Dr Mahathir kali ini turut disertai tujuh menteri Kabinet serta ketua menteri dan menteri besar termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Nuryante berkata Dr Mahathir turut diberi penghormatan oleh China untuk berucap pada sesi forum BRF tersebut yang bakal dihadiri oleh kira-kira 36 pemimpin serata dunia dan serta wakil dari 140 negara.
Beliau berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan Keqiang, Perdana Menteri akan turut bertemu dengan Presiden China Xi Jinping.
“Dalam pertemuan ini kedua-dua pemimpin dijangka berkongsi pandangan mengenai hala tuju hubungan Malaysia-China termasuk aspek strategi dan kerjasama di masa depan,” katanya.
Pada malam esoknya, Dr Mahathir dan Dr. Siti Hasmah akan diraikan pada majlis makan malam oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China, Li Zhanshu.
Selain jadual padat bertemu dengan pemimpin tertinggi China serta menghadiri forum itu, Perdana Menteri juga akan meninjau lebih dekat kemampuan serta kecanggihan teknologi syarikat-syarikat China.
Beliau juga dijadual mengunjungi syarikat telekomunikasi terkenal China, Huawei serta Sensetime yang merupakan penyedia teknologi Kecerdikan Buatan (AI).
Sehubungan itu, kata Nuryante, lawatan Perdana Menteri ke China akan memberi peluang kepada syarikat kedua-dua negara menjalin kerjasama dalam bidang teknologi tinggi.
Dr Mahathir juga akan menyampaikan ucapan serta berdialog dengan para pemimpin perniagaan China dalam majlis anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta institusi perbankan terkenal dunia, HSBC.
Perdana Menteri dan isteri akan berlepas pulang ke Malaysia pada Ahad.
— BERNAMA
[ad_2]
More Stories
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu
MA63: 9 tuntutan asas selesai sepenuhnya
PADU: Kebimbangan M40 bujang perlu diperhalusi – Pakar