Lelaki cedera parah dibaham buaya

Oleh: Libona

TUARAN: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an cedera parah selepas dibaham buaya di Sungai Giling, di sini, kelmarin.

Menurut saksi yang merupakan rakan mangsa, kejadian itu berlaku sekitar jam 2.00 petang apabila mangsa turun ke sungai untuk mencari lokan.

Katanya lagi, mangsa tidak menyedari terpijak buaya semasa mencari lokan menyebabkan reptilia terbabit membaham kaki kiri mangsa dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

Saksi berkata, mangsa sempat bergelut untuk melepaskan diri daripada reptilia itu sebelum berjaya menyelamatkan diri.

Mangsa kemudian pulang ke rumah menaiki sampan dan dikejarkan ke Hospital Tuaran untuk mendapat rawatan.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kiri.

Kes tersebut disahkan oleh Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim.

Katanya, mangsa dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Tuaran.