Seorang lelaki warga Indonesia terima padah amang seksual terhadap anak kandung

Gambar Hiasan

Oleh : Cyn J.

TAWAU: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak kandungnya.

Lelaki berusia 50 tahun yang bekerja sebagai buruh ladang itu dijatuhkan hukuman setelah mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibaca dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi daerah, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak selaku hakim.

Menurut hakim, bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas anak perempuannya berusia 17 tahun dengan meraba kaki kirinya manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meraba bahagian lutut kiri seorang anak perempuannya berusia 15 tahun.

“Bagi pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan di sebuah rumah pekerja di Ladang Belian, Benta Wawasan, Jalan Luasong, Kalabakan kira-kira pukul 10 malam, pada Ogos 2020 manakala pertuduhan kedua, tertuduh melakukan di lokasi yang sama kira-kira pukul 11 malam pada Januari 2021,” katanya.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama.

Tertuduh merayu mahkamah untuk meringankan hukumannya kerana dia perlu menyara keluarga dan menyesali perbuatannya namun hakim menjelaskan kesalahan tertuduh adalah berat dan serius setelah mengambil kira kepentingan awam dan trauma emosi yang dialami mangsa selaku anak kandungnya.

Hakim akhirnya mengambil keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan yang akan dijalankan secara berasingan terhadap tertuduh.

Tertuduh akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suriana dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Jhassary Kang.

Sumber: Utusan Malaysia