LELAKI INGKAR PKP MILIKI SYABU

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bukan saja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana keluar tanpa alasan munasabah, malah dia turut didapati memiliki dadah jenis syabu dalam kejadian di Jalan Kuala Neutron, Inanam, semalam.

Suspek berusia 44 tahun terbabit ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, ketika menjalankan tugas Op Covid-19, jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anggota MPV sedang menjalankan rondaan terserempak sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan untuk pemeriksaan.

“Ketika diperiksa, suspek menyerahkan satu bungkusan plastik kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan berat kasar 0.10.

“Susulan itu tangkapan dilakukan atas kesalahan dadah dan ingkar arahan PKP kerana berada di luar tanpa alasan munasabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11 Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya./BERITA SABAH