LELAKI MAUT KERETA REMPUH MOTOSIKAL, POKOK

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah motosikal lalu terbabas dan melanggar pokok di Jalan Tuaran Bypass, dekat Kalansanan, Inanam, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa Richard Mukoi, 38, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut di tempat kejadian selepas parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika kejadian motosikal jenis Yamaha LC135 ditunggang lelaki berusia 23 tahun dan kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa dari arah pusat bandar raya menuju ke arah Tuaran.

“Ketika penunggang motosikal berada di lorong kiri, kereta dipandu mangsa yang datang dari arah sama melanggar motosikal dari arah belakang dan penunggang terjatuh serta terseret.

“Kenderaan dipandu mangsa turut pula terbabas di kiri jalan lalu melanggar pokok di tepi jalan.

“Akibat daripada itu, pemandu tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Likas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, penunggang yang calar dibahagian badan, kaki dan tangan dikejarkan ke hospital untuk rawatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan pemandu kereta Proton Persona yang tersepit./http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *