Lelaki maut selepas kenderaanya dihanyut arus deras

BELURAN: Seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai maut selepas kereta yang dipandunya hanyut di Jambatan Sungai Memanjang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, kejadian berlaku pada jam 1.15 petang apabila paras air sungai pada ketika itu dikatakan naik akibat hujan.

“Mangsa dipercayai sedang meredah kawasan tersebut untuk ke tempat kerja di kilang minyak sawit Ladang Hassan sebelum dihanyutkan oleh arus deras ke dalam sungai bersama kenderaannya.

“Mangsa seterusnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta pada jam 4.40 petang, kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Berikutan hal itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bersama agensi penyelamat lain telah menjalankan operasi mengeluarkan kenderaan mangsa jenis Proton Iswara tersebut menggunakan jentera jengkaut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika ditanya pemberita.

Azhar turut menasihati orang ramai untuk tidak mengambil risiko dengan meredah arus deras ketika paras air semakin meningkat.