TAWAU: Penyamaran seorang lelaki sebagai wanita terbongkar apabila orang awam berjaya menangkapnya selepas memecah masuk rumah di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru, di sini, kelmarin.
Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi ketika suspek cuba melarikan diri dengan mengenakan baju tidur wanita, bertudung, dan menggunakan pelitup muka semasa keluar dari rumah yang dipecah masuknya.
Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas, aduan itu dibuat oleh seorang wanita berusia 18 tahun yang baru tiba dirumah selepas keluar menghantar ibunya ke tempat kerja dan mendapati sepasang selipar asing di depan pintu rumahnya.
Peter berkata, pengadu mendapati jeriji dan pintu utama rumahnya juga tidak ditutup rapat kemudian mengesyaki rumahnya dipecah masuk.
“Menyedari akan hal itu, pengadu memasuki semula ke dalam kenderaannya dan tiba-tiba mendapati seorang lelaki memakai baju wanita keluar dari pintu hadapan rumahnya.
“Pengadu terus menghubungi sepupunya yang tinggal di taman perumahan yang sama.
“Suspek yang menyedari kehadiran wanita itu bergegas keluar dan memasuki sebuah kereta yang diletakkan di lorong hadapan rumah dan dengan pantas mengundurkan kenderaannya,” kata Peter ketika ditanya pemberita.
Bagaimanapun, Peter berkata bahawa kira-kira 30 minit berlalu, pengadu dimaklumkan oleh sepupunya bahawa suspek berjaya ditangkap di taman perumahan tersebut.
Kata Peter, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang perhiasan wanita di dalam rumah tersebut hilang dan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM150.
“Suspek kemudiannya diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK