Peniaga ditahan akibat menyimpan rokok dan arak tidak bercukai

GEORGETOWN, 24 Feb – Seorang lelaki berusia 60 tahun ditahan polis atas cubaan menyorok rokok dan arak tidak bercukai di dalam stor dan semak di belakang sebuah rumah di Pantai Acheh, Balik Pulau, semalam.

Suspek yang merupakan seorang peniaga itu ditahan ketika sedang memasak di rumah tersebut kira-kira pukul 6 petang.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Polis Shamsol Kassim, Ops Kontraban itu dijalankan hasil daripada risikan dan pemantauan oleh Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang selama sebulan di lokasi berkenaan.

“Kami mendapati, lelaki warga tempatan itu bergerak sendirian dalam membekalkan rokok dan arak tersebut di kedai-kedai runcit berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, kami menemui arak dan rokok di dua tempat iaitu di dalam stor dan dalam semak di belakang rumah yang mana ia hanya ditutup dengan menggunakan kanvas.

“Barang yang berjaya dirampas adalah rokok (531 karton) dan 688 liter arak bernilai 152,717,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Shamsol berkata, suspek telah menjalankan kegiatan itu sejak enam bulan lalu.