Lelaki OKU mati terbakar pagi tadi sana Keningau

Seorang lelaki berusia 65 tahun yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya di Kampung Bakiau, di sini, musnah terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa Amburus Antougou tinggal bersama anaknya yang berusia 45 tahun dipercayai gagal diselamatkan selepas api sudah membakar sebahagian besar rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal, mangsa tinggal bersama anaknya, di rumah berstruktur papan yang berkeluasan 5.5 meter persegi.

Katanya, berdasarkan keterangan di lokasi, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang tidur di dalam rumah.

“Anak lelaki mangsa dikatakan cuba untuk menyelamatkan bapanya namun gagal memandangkan api sudah terlalu marak.

“Anak mangsa juga tidak dapat memastikan punca kebakaran atau api bermula dari bahagian mana memandangkan hanya menyedari selepas api sudah memusnahkan hampir keseluruhan rumah ,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa adalah seorang OKU yang tidak mampu berjalan dan mayat mangsa ditemui di dalam bilik tidur.

Katanya, kejadian hanya membabitkan sebuah rumah dan rumah jiran yang hampir terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa, di seberang sungai.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Keningau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Setakat ini, anggaran kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *