LELAKI ROGOL ANAK SAUDARA DIPENJARA 34 TAHUN, 22 SEBATAN

SANDAKAN: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 34 tahun dan 22 sebatan ke atas seorang lelaki atas kesalahan merogol anak saudara berusia 13 tahun.

Tertuduh berusia 43 tahun itu diperintahkan menjalani hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim, Indra Ayub dalam prosiding semalam.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak saudaranya pada Januari 2019 antara jam 9 pagi hingga 10 malam di dalam perumahan setinggan, di sini.

Lelaki itu didakwa atas dua kesalahan iaitu Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana hubungan antara tertuduh dan kanak-kanak itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin.

Sementara, satu lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana tertuduh mempunyai hubungan amanah dengan kanak-kanak berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Indra memerintahkan tertuduh dipenjara selama 26 tahun dan 17 sebatan, manakala lapan tahun dan dikenakan lima sebatan bagi pertuduhan kedua.

Indra mengarahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam untuk menjalani hukuman serentak dari tarikh ditangkap pada 11 Julai tahun ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *