Lelaki umur 55 tahun ditahan kerana miliki bahan letupan. Kejadian di Semporna

Seorang lelaki ditahan selepas didapati memiliki komponen bahan letupan dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor, di Semporna awal pagi semalam.

Menurut laporan Utusan Borneo, dalam kejadian jam 2 pagi itu, Pasukan Polis Marin (PPM) menyerbu rumah berkenaan sebaik menerima maklumat risikan mengenai kegiatan suspek terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Mohamad Ismail berkata pasukannya berjaya menahan seorang lelaki berumur 55 tahun di dalam rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemukan barang-barang yang disyaki komponen bahan letupan di dalam rumah tersebut dipercayai milik suspek.

“Antara barang yang dirampas iaitu non electrical detonator, sumbu dan baja ammonia dipercayai untuk membuat bom ikan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Katanya, suspek dan semua barang rampasan yang dianggarkan bernilai RM1,943 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna.

“Suspek kemudiannya diserahkan kepada kepada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Mohamad berkata PPM wilayah 4 Sabah mengalu-alukan seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka.

“Maklumat boleh dilaporkan secara terus menggunakan aplikasi whatsapp kepada Pusat Komunikasi PPM Sabah ditalian 0139391197,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *