Op Sarang: PDRM tahan 20 lelaki edar dadah di KK

Seramai 20 lelaki ditahan dalam Op Sarang membabitkan empat lokasi sarang pengedaran dan penjualan dadah di Kota Kinabalu semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, dadah jenis syabu seberat 70.09 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM7,009 turut dirampas dalam operasi itu.

Katanya, seramai 36 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dan 20 lelaki terbabit ditahan atas kesalahan yang melibatkan pengedaran dan penyalahgunaan dadah. 

Menurutnya, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 19 hingga 47 tahun termasuk 10 warga asing.

“Kesemua mereka ditangkap di sekitar Kampung Lok Buno, Taman Putrajaya, Kampung Lapasan dan Wak Wak dekat sini dalam serbuan pada jam 4.30 pagi. 

“Dalam operasi ini, seorang lelaki warga asing yang memiliki syabu seberat 56.77 gram yang dimasukkan dalam 22 paket lutsinar berisi syabu.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala, seorang individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1), lima individu ditahan di bawah Seksyen 12(2) dan 13 individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam dalam laporan Utusan Borneo.

Beliau berkata, Op Sarang berkenaan disertai seramai lima pegawai dan 58 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Mohd. Zaidi berkata, usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

Beliau turut meminta orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi meningkatkan lagi usaha membanteras jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *