PAITAN: Lima lelaki ditahan menerusi Operasi Bersepadu dalam sekatan jalan raya selepas melakukan pemburuan melebihi kuota di Jalan Paitan, di sini, semalam.
Difahamkan pasukan penguatkuasa menahan sebuah kenderan pacuan empat roda selepas membuat pemeriksaan dan menemui dua bangkai haiwan di tempat penyimpanan barang kenderaan itu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata tangkapan itu hasil operasi bersama pasukan PROTECT Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) yang menemukan dua bangkai rusa dan peralatan memburu di belakang kenderaan tersebut.
Katanya, semua pemburu terbabit ditahan kerana memburu melebihi kuota yang dinyatakan dalam lesen manakala bangkai rusa dan kenderaan tersebut dirampas untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 25 Sub-seksyen 2(b) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, jika didapati bersalah, mereka boleh dijatuhkan hukuman didenda antara RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Augustine menasihati orang awam agar tidak melakukan pemburuan haram manakala pemburu berlesen pula dinasihati untuk patuh terhadap syarat-syarat dalam lesen seperti tempoh sah memburu, kawasan pemburuan dan bilangan haiwan yang hendak diburu.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK