KOTA BELUD, 7 Mac — Seorang lelaki dipercayai maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar lori sehingga menyebabkan dia terperosok di bawah kenderaan berat terbabit di Jalan Kota Belud – Tuaran, pengkalan Abai, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.45 petang dan siasatan awal mendapati mangsa menuju dari arah pekan Kota Belud ke Kampung Lentigi semasa ingin membuat simpangan sebelah kanan.
“Awalnya, mangsa hendak masuk ke simpang sebelah kanan namun sebuah lori yang membawa muatan beras dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Kinabalu terlanggar belakang motosikal ditunggang mangsa.
“Penunggang motorsikal terbabit kemudiannya terperosok di bawah lori dan diseret sejauh hampir lima meter,” katanya dalam sebuah kenyataan media kelmarin.
Sehubungan itu, mangsa berusia 45 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat daripada cedera parah di bahagian kepala.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kota Belud untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Shahrudin menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa memandu, patuhi undang-undang jalan raya dan sentiasa pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memandu.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK