Oleh Ahmad Tamrin
TAWAU : Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau telah menahan dua warga tempatan menaiki sebuah bot fiber tempatan kerana juragan disyaki telah melakukan kesalahan di sekitar perairan Tanjung Saima dekat sini hari Sabtu.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot ronda Zon Maritim Tawau yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin telah menahan bot fiber bernombor pendaftaran terbabit pada jam lebih kurang 3.40 petang.
Semasa ditahan, bot penumpang tersebut sedang menuju masuk ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik dari perairan Ice Box, kata Mohd Yusri.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan dan awak-awak lelaki warga tempatan masing-masing berumur 21 dan 24 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Pihak Maritim Malaysia turut menemui muatan tong gas petroleum cecair (LPG) berisi sebanyak 7 tong dan 170 kilogram minyak masak paket dalam bot berkenaan tanpa sebarang permit kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tambah beliau.
Kesemua yang ditahan termasuk bot fiber dan satu unit enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda bernilai lebih kurang RM16, 000 dirampas seterusnya diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau. Kes akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, katanya.
Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999, kata Mohd Yusri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK