[ad_1]
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung berkata sehingga Disember 2018, Lynas telah mengumpul sebanyak 1.13 juta tan sisa buangan ‘Neutralization Underflow Residue’ (NUF) dalam tempoh enam tahun pengoperasiannya, di mana sisa-sisa ini disimpan di tepi kilang.
“Sedangkan jika mengikut Peraturan 4: Pelupusan Buangan Terjadual dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, kuantiti bahan buangan terjadual yang dikumpulkan di tapak tidak melebihi 20 tan metrik selama 180 hari atau kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan ulasan berkenaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) berkenaan sisa buangan NUF bagi Projek Lynas kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pejabat JAS Negeri, di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut berkata laporan EIA tidak memenuhi kriteria yang diperlukan untuk memastikan kesejahteraan, kesihatan dan alam sekitar dijaga memandangkan kawasan tapak pelupusan sisa NUF yang terletak di Gebeng.
“Gebeng merupakan sebuah kawasan tapak industri, bukannya tapak pelupusan bagi sisa buangan NUF ini. Maka, sisa NUF ini tidak sepatutnya berada di kawasan perindustrian Gebeng. Oleh itu, laporan EIA ini wajar ditolak kerana ia dilihat tidak memenuhi kriteria yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul berkata pihaknya terbuka untuk menerima pandangan dan maklum balas daripada mana-mana pihak.
“Kita akan menilai maklum balas yang diterima dan jika ada kesahihan, kita akan mengambil peruntukan undang-undang bagi penambahbaikan.
“Jika ada kaitan dengan jabatan lain, kita akan membawa perkara tersebut ke pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata setakat ini pihak JAS Pahang telah menerima serahan maklum balas berkaitan Laporan EIA yang kebanyakannya terdiri daripada individu perseorangan.
“Maklum balas ini bagi melihat sama ada laporan EIA yang dikeluarkan baru-baru ini boleh diterima atau perlu penambahbaikan dan kita mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk memberikan maklum balas di mana tempoh yang diberikan bermula awal April sehingga 19 April ini,” katanya.
— BERNAMA
[ad_2]

More Stories
Baca@Borneo Gerakkan Budaya Ilmu, Perpustakaan Jadi Pemangkin Inovasi dan Komuniti
Hormati Hari Ibadah: Madius Seru SPR agar Penamaan Calon dan Hari Mengundi Selaras Prinsip Rukun Negara
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu