MADIUS: KAAMATAN SEBATI DALAM JIWA KITA

KOTA KINABALU: Presiden Pertuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau percaya semangat Kaamatan di kalangan rakyat Sabah tidak akan luntur walaupun sambutannya kali ini tidak seperti sebelumnya.

Menerusi hantaran beliau di Facebook, Madius berkata tahun ini begitu mencabar kepada semua dan banyak perancangan terpaksa ditangguh bagi menyokong usaha memerangi penularan wabak Covid-19.

“Begitu juga dengan sambutan Pesta Kaamatan ini. Walaupun kita tidak dapat raikan bersama, ia tidak menghalang meneruskan perpaduan dan keharmonian yang sekian lama terjalin.

“Namun saya percaya, ini tidak melunturkan semangat untuk memelihara adat tradisi yang diwarisi sejak turun temurun

“Ia sememangnya sudah sebati dalam jiwa kita. Tersemat dengan utuh di dalam hati dan nurani masing-masing,” katanya.

Madius berkata, sejarah di sebalik sambutan Kaamatan tetap menjadi pedoman dalam kalangan masyarakat khususnya kaum KadazanDusun, Murut dan Rungus.

“Ianya sentiasa menjadi ingatan untuk panduan kehidupan. Pendek kata, takkan hilang budaya ini ditelan zaman.

“Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa bahagia di samping keluarga tersayang,” katanya.

Dalam hantarannya itu juga, Madius turut menyampaikan salam dalam bahasa ibunda beliau, Kadazandusun.

“Kumaa toinsanan tobpinai ku ngawi, kano misokodung om kakal misompuru. Kano miulud do tumoguang nunu nopo kobolingkaangan di tabantalan.

“Aharap oku nogi olidas kasari kou momogun do koposion hinonggo nopo koyonon tokou do baino.

“Kotobian Tadau Tagayo Do Kaamatan, Selamat Menyambut Pesta Menuai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sempena Kaamatan tahun ini, UPKO turut mengadakan Kaamatan Online UPKO 2020 yang menampilkan pertandingan nyanyian serta pertandingan Unduk Ngadau secara atas talian.

Bagi pertandingan nyanyian atau Rombituon Kaamatan Online UPKO 2020, acara final diadakan pada 1 Jun dan ianya akan disiarkan secara langsung di Facebook Page UPKO Malaysia bermula jam 12 tengah hari.

Sementara itu bagi acara Unduk Ngadau Online UPKO 2020, acara final akan disiarkan pada 12 Jun dan ianya juga akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Page UPKO malaysia bermula jam 12 tengah hari.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *