MADIUS : TERUS AMAL PENCEGAHAN WALAUPUN SELEPAS PKP

TUARAN: Penduduk disarankan agar terus membudayakan gaya hidup sihat walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijadual berakhir pada 14 April ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, amalan sedemikian sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak Covid-19 secara tuntas.

“Kita tidak tahu bagaimana keputusan kerajaan selepas ini, sama ada PKP akan dilanjutkan atau sebaliknya.

“Namun amalan yang kita amalkan sekarang dari segi gaya hidup hendaklah berterusan sebab Covid-19 ini tidak akan hilang begitu sahaja. Kita perlu meneruskan gaya hidup yang boleh mengelakkan jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, di sini, hari ini.

Bantuan itu bertujuan untuk diagihkan di peringkat kampung masing-masing kepada golongan terjejas seperti warga emas, ibu tunggal, miskin tegar dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Madius, MPKK akan memainkan peranan penting bagi memastikan pembudayaan amalan pencegahan dimulakan dan terus dilaksanakan di setiap kampung.

“Sebagai contoh di Kiulu, terdapat 50 kampung yang sudah pun membuat peraturan bertulis tentang larangan-larangan, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di kampung berkenaan.

“Antaranya, peraturan berkaitan menjaga jarak dan mengelak sentuhan antara satu sama lain, hal-hal yang berkaitan dengan mengendalikan upacara pengebumian serta hal-hal lain yang yang melibatkan perhimpunan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah berkata, bagi kampung-kampung yang masih belum mempunyai peraturan bertulis, ini adalah masa yang tepat untuk menggubal dan menguatkuasakan peraturan berkenaan.

“Kepada mereka yang memerlukan panduan, MPKK boleh menghubungi atau berjumpa dengan pegawai khas saya di Pusat Khidmat Parlimen Tuaran.

“Sampel peraturan ini ada di sana dan kita boleh berikan supaya kampung-kampung yang ingin turut serta boleh berbuat demikian,” jelas Madius.

Hadir sama, Setiausaha Politiknya Joisin Romut dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kiulu, Suali Sikir./BERITA SABAH