MARITIM MALAYSIA RAMPAS MESIN JUDI DARI BOT PENUMPANG DI PERAIRAN TAWAU

Anggota Maritim Malaysia sedang memeriksa bot penumpang di perairan Tawau kelmarin

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU : Seorang juragan bot penumpang warga Indonesia telah ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Tawau kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 di sekitar perairan Tawau, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, bot peronda Zon Maritim Tawau telah menahan sebuah bot penumpang mempunyai nombor pendaftaran pada lebih kurang jam 8.00 pagi. Bot penumpang berkenaan dipercayai menuju masuk ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik dari Jeti Penumpang Pelabuhan Tawau.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan lelaki berumur 50 tahun memiliki dokumen pasport pengenalan diri yang sah yang meragukan.

Pihak Maritim Malaysia turut menemukan tiga buah mesin judi permainan ‘Wukong’ dalam bot berkenaan tanpa sebarang dokumen kebenaran, kata Mohd Yusri.

“Bot penumpang dan kesemua peralatan mesin judi yang dirampas serta juragan yang ditahan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen bot.

Manakala, mesin-mesin judi yang dirampas akan dijalankan siasatan lanjut. Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai lebih kurang RM56,000,” katanya lagi.